(Pemandangan atas udara Cairo-Jeddah)
Satu hari ketika aku duduk bersembang di Villa Abou Temmam, rumah sahabat yang jaraknya tidak jauh dari rumah aku, dengan tidak disangka-sangka rupanya ada salah seorang daripada mereka juga berhasrat untuk mengerjakan umrah. Izzat namanya. Rupanya dia telah membeli tiket awal lagi. Apa lagi, aku pun tanpa ragu-ragu lagi segera membuat urusan untuk mendapakan tiket ke sana! Akhirnya hampir DH11000 digunakan untuk urusan tiket. Alhamdulillah.
Tiket sudah berada ditangan, urusan kedua adalah mendapatkan visa umrah dari kedutaan Saudi di Morocco yang terletak di Rabat. Sudah pasti, kalau sudah namanya Arab, di mana-mana pun akan ada kecelaruan ketika berurusan dengan mereka. Untuk urusan visa sahaja, dua tiga kali kami perlu berulang alik ke Rabat dari Kenitra. Tidak apa, aku pasti hasilnya baik biarpun agak banyak kerja yang perlu dibuat.
JEDDAH
Egypt Air yang kami naiki agak sempit, hanya satu laluan di tengah dengan tiga tempat duduk di sebelah kiri dan kanan. Padanlah dengan harganya yang agak murah. Pemandangan biru laut, wadi dan sahra dari udara amat menakjubkan. Subhanallah!
Selamat mendarat di lapangan terbang Jeddah kira-kira selepas waktu asar. Amat lega sekali dan seolah-olah tidak percaya yang aku berjaya menjejakkan kaki di Arab Saudi. Syukur Alhamdulillah. Airport Jeddah aku tidaklah sebesar KLIA di Malaysia. Disebabkan itu urusan imigresen agak serabut dan perlu beratur panjang. Selesai sahaja urusan imigresen, kami terus keluar untuk mendapatkan khidmat pengangkutan. Seperti yang dirancang, dari Jeddah kami akan terus ke Madinah selama seminggu. Kami perlu mendapatkan pengangkutan segera kerana jarak anatara Jeddah – Madinah memakan masa 3-4 jam perjalanan, tambahan pula hari sudah petang. Keluar sahaja dari pintu utama airport, aku agak terkejut dengan pemandangan khususnya teksi-teksi di sana. Tidak pernah aku melihat Toyota Camry dijadikan teksi! Kami bertanyakan kepada beberapa pemandu teksi harga tambang dari Jeddah – Madinah, manalah tahu dapat harga yang berpatutan. Tapi tidak begitu, harga yang kami dapat adalah sekitar 500 – 600 riyal, selepas dirunding harga hanya boleh diturunkan sehingga 400 riyal sahaja. Tapi harga itu juga sebenarnya jauh lebih mahal berbanding menaiki bas atau ‘kereta sapu’ seperti mana yang diberitahu sahabat-sahabat yang telah mengerjakan umrah.
Setelah berbincang dengan Izzat, kami setuju menaiki teksi hanya untuk ke stesyen bas berhampiran sahaja. Selesai. Dalam teksi, kami mengambil peluang untuk berbual ringan bersama Pak Arab pemandu teksi. Asas bahasa arab yang kami ada memudahkan komunikasi dua hala, bertanya dan bergurau. Pak Arab tersebut juga tidak putus asa memujuk kami untuk terus ke Madinah menaiki teksinya. Tapi apakan daya, harga yang ditawarkan tetap mahal!
TAMBANG MURAH
Hari sudah gelap ketika kami diturunkan berhampiran stesyen bas. Agak sibuk dengan orang ramai dan kereta lalu lalang. Kami perlu melintas jalan raya untuk ke stesyen bas. Belum sempat kami melintas, terdengar dari tepi jalan raya seorang pakcik Arab menjerit “Madinah, Madinah!”. Kami tidak pasti apa yang dimaksudkan lantas menghampiri pakcik tersebut. Oh! Rupanya dia ingin mengambil penumpang yang ingin ke Madinah. Baru kami tahu, mungkin inilah yang dikatakan sebagai “kereta sapu”, iaitu kereta biasa (bukan teksi) tetapi mengambil penumpang untuk ke Madinah atu Mekah dengan tambang yang berpatutan. Selepas kami bertanya tentang tambang, perjalanan dan sebagainya, kami yakin pakcik Arab ini boleh dipercayai, langsung bersetuju untuk menaiki kereta tersebut ke Madinah dengan harga 50 Riyal sahaja!.