

(Nazihah di Hassan Tower, Rabat)
Abou Temmam, Polis Kenitra dan Kad Pengenalan Morocco
Tengah hari itu, makan berlauk ayam masak merah. Ahli rumah Abou Temam semua pandai masak, kecuali aku mungkin. Selepas aku kenalkan kawan-kawan kepada Abg Naguib, aku tunjukkan dia bilik untuk berehat. Penat sungguh nampak gayanya. Memanglah penat. Malaysia ke Morocco bukanlah dalam satu dua jam, tapi lebih kurang tiga belas jam di udara! Oleh kerana kepenatan, mereka masuk tidur di petang hari lagi.
Aku pula? Oh, hanya Tuhan yang mengetahui bagaimana penatnya aku. Ketika Abg Naguib dan Waeiz tidur, aku tidak boleh berehat biarpun rasa letih yang terlampau. Aku perlu ke Pejabat Polis Kenitra untuk buat urusan. Jika tidak, aku tidak boleh ikut mereka ke Andalusia seperti mana yang dirancang. Jika itu berlaku, mereka juga tidak teragak-agak untuk membatalkan perancangan ke Andalusia, biarlah duit habis begitu sahaja. Oh tidak, aku perlu berusaha selagi boleh! Aku bergegas pergi ke Pejabat Polis dengan doa dan harapan supaya dipermudahkan urusan.
Alhamdulillah, aku bersyukur sangat kerana pegawai yang bertugas petang itu, seorang lelaki, pegawai baru yang ramah dengan pelajar Malaysia. Di bahagaian itulah tempat di mana setiap tahun pelajar Malaysia di Kenitra perlu berurusan untuk renew kad pengenalan Morocco/visa pelajar. Di situ juga bermacam-macam karenah pegawai dapat dilihat saban tahun. Petang itu, aku bersedia mengadu masalah aku. Bukanlah susah sangat berurusan kerana kebanyakan orang Morocco umumnya mampu bercakap bahasa Arab baku untuk meraikan orang asing, khususnya pelajar-pelajar bukan warganegara. Berbeza di beberapa tanah negara Arab yang pernah aku jejaki. Itu dari segi bahasa, tapi daripada aspek-aspek lain agak payah juga. Maklumlah, kalau sudah namanya Arab!
“Tuan, saya dah lama beli tiket kapal terbang ke Sevilla atas beberapa urusan penting disana, dan lusa adalah tarikh penerbangan, tapi saya ada masalah…”. Aku cuba yakinkan pegawai tersebut sebolehnya. “Semalam kad pengenalan saya hilang!” Cukup. Itu sahaja point aku. Aku yakin jika aku beritahu perkara sebenar, aku akan mendapat susah dan bertambah susahlah urusan aku. Reaksi pegawai polis tersebut agak positif dan berulang-ulang dia mengajukan soalan benarkah kad pengenalan Morocco aku hilang? atau tertinggal di mana-mana? Lega, aku berjaya meyakinkan dia namun terpaksa juga menipu. Bertambah lega kerana pegawai tersebut memberi harapan kepada aku. Aku perlu mengisi police report dan beberapa urusan lain petang itu. Kemudian, dia minta aku datang esok pagi dengan membawa laporan polis tersebut, passport dan setem DH20 untuk dilekatkan pada Sijil Pengenalan Sementara aku nanti. Aku hanya mengangguk. Sebelum keluar, aku berkali-berkali berkata bahawa aku tidak boleh terlepas penerbangan tersebut, dan merayu untuk dia menolong aku. Jawapannya positif. Bukan apa, setidak-tidaknya semangat aku kembali kuat untuk menempuh hari esok!
Kad Pengenalan Morocco begitu penting sebagai bukti pelajar yang membolehkan kami menetap di Morocco secara sah. Kami perlu memperbaharui kad pengenalan tersebut di pejabat polis wilayah selewat-lewat tiga bulan selepas tamat tempoh. Jika tidak, kami dikira sebagai penduduk haram yang layak diusir dari Morocco. Antara wathaiq yang diperlukan adalah setem bitaqah iqamah berharga Dh100, passport dan yang paling penting adalah surat pengesahan pelajar yang dikeluarkan setiap tahun oleh universiti. Kad pengenalan ini valid dalam tempoh setahun sahaja. Urusan untuk mendapatkan kad pengenalan baru bukanlah sehari dua, tetapi boleh makan masa dua hingga tiga bulan lamanya! Sebab itu aku begitu risau, bolehkah aku dapat kad pengenalan sementara dalam tempoh satu hari? Jika dapat pun, bolehkah aku gunakan ketika mahu masuk semula ke Morocco dari Andalusia nanti? Aku fikir agak mustahil. Itu yang membelenggu fikiran aku! Sudahlah baru buat report hari ini, esok pula sudah mahu bergerak ke sebelah utara Morocco! Oh, hanya Tuhan yang mengetahui betapa pengharapan aku.
Pulang ke Abou Temmam. Azan maghrib berkumandang. Abg Naguib dan Waeiz masih lagi tidur. Malam itu aku berurusan dengan Azri, pemandu merangkap guider kami yang masih belum sampai Kenitra. Dia menyewa kereta jenis Dacia Logan 1.4 dari Fes dan sepatutnya akan sampai malam ini. Jadual yang aku rancang berbulan-bulan sebelum ini terpaksa diubah. Sepatutnya esok pagi sudah bergerak ke bahagian utara Morocco. Aku rancang begitu kerana hari ke empat kami mesti sudah berada di Tanger untuk ke Andalusia. Tapi oleh kerana esok pagi aku perlu ke Pejabat Polis Kenitra semula, rancangan dibatalkan.
Malam itu amat sejuk! Selepas makan malam bersama Abg Naguib dan Waeiz dan rakan-rakan serumah, aku ambil masa untuk susun semula jadual perjalanan kami. Tidur.
Bersambung…
Abg Naguib dan Waeiz, dalam keretapi ONCF menuju Kenitra
.
Kad Pengenalan Morocco, sehari sebelum ‘tragedi oktober’ berlaku di UK.
.
Dacia Logan, kereta yang akan berkhidmat esok pagi