(Grafik oleh : Shahiddan Mazlan)
(Baca bahagian pertama : Fin ‘Istiqamah’ Diyalna? – I)
Permasalahan
Semua krew Diyalna merupakan pelajar sepenuh masa dan sebahagiannya berada pada tahun akhir. Diyalna juga aktif beberapa bulan sebelum waktu peperiksaan! Bila tibanya waktu peperiksaan, tumpuan sudah tentu diberikan kepada muqarrar.
Selesai peperiksaan, cuti panjang pula. Sudahlah cuti, krew utama Diyalna sendiri pula hampir kesemuanya keluar; samada habis pengajian/bercuti, menjadikan Diyalna mula tidak terurus. Sebelum itu, memang ada perbincangan berterusan untuk mencari dan menambah krew yang berupaya menyelenggara laman web dengan baik tetapi malang, tidak ada; atau terlambat untuk diberi briefing. Aku sendiri yang mengawal/menapis keluar masuk artikel, komentar, pertanyaan (emel) dan sebagainya keluar bercuti ke Timur Tengah hampir tiga bulan sementara sahabat-sahabat krew lain ada yang bercuti ke Malaysia, Eropah dan sebagainya. Lumrah musim panas. Aku kira ini merupakan sebab utama Diyalna tidak dapat diurus sengan baik; iaitu lambat mencari pelapis yang berpotensi! Atas alasan inilah menyebabkan Diyalna semakin hari semakin kelam. Tidak terurus. Sehingga menemui ajalnya!
Selepas Terkubur
Walaupun selepas expirednya Diyalna, respon masih diterima. Ada yang mencadangkan agar membukukan semua artikel yang terdapat dalam Diyalna, membuat satu e-book khas dengan beberapa edisi Diyalna dan pelbagai lagi cadangan. Hari ini, biarpun selepas beberapa tahun Diyalna terkubur, masih ada yang mencadangkan agar Diyalna diberi nafas baru. Namun apa yang pasti, titik nokhtah tetap disitu.
Dapatan/Muhasabah
(1) ‘Istiqamah’ sehangat tahi ayam.
Istiqamah disini aku merujuk kepada “konsisten melakukan sesuatu”. Memang sukar. Kadang-kadang kita bersemangat diawal waktu, tetapi sampai bila semangat itu boleh kita bawa bersama? Jika kita berazam untuk solat Subuh berjemaah, bolehkah kita konsisten untuk berjemaah sehingga ajal menjemput kita?. Begitu juga dengan Iman.
Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah).
Idea kita banyak, tetapi usaha yang terbatas merencatkan idea. Buatlah transformasi apa sekalipun, samada atas nama dakwah, bussines dan sebagainya tetapi jika tidak ada konsisten, maka tidak ada gunanya. Cetuslah berapa banyak organisasi sekalipun samada atas nama ilmuan, team akademik, team work dan sebagainya tetapi jika tidak ada konsisten, maka tidak ada gunanya. Pilihlah nama sesedap mana sekalipun untuk projek, Diyalnakah, Mizyankah, Halawiyahkah, Syabakiyahkah dan sebagainya tetapi jika sifat konsisten itu tidak ada, maka tidak lain seperti membina tapak untuk membuat bangunan, tetapi selepas itu ditinggalkan kosong. Orang Melayu kata, hangat-hangat tahi ayam!
(2) Saling melengkapi
Dalam team bola sepak, pemain perlu dipilih berdasarkan kelayakan masing-masing. Jika diletakkan sepuluh pemain yang kesemuanya pakar dalam posisi menyerang, pasti team tersebut akan kalah. Oleh itu setiap pemain perlu ada kemahiran tersendiri pada setiap posisi dan dalam masa yang sama, perlu mengetahui corak permainan pemain-pemain lain. Kepelbagaian kemahiran inilah yang menjadikan satu team itu dilihat hebat. Sehebat Real Madrid.
Seorang ahli akademik yang hebat dalam penulisan akademik, belum tentu tahu cara mereka grafik. Seorang designer yang pakar dalam bidang grafik belum tentu tahu cara membetulkan komputer. Kemahiran bervariasi inilah yang diperlukan bagi satu-satu kumpulan untuk menjadikan perancangan mereka nampak efektif. Dunia dakwah perlukan variasi intelek ini untuk lebih impresif!
( 3) Bersatu teguh, bercerai roboh
Ya, setiap individu punya kepakaran masing-masing. Tak usah angkuh dengan kepakaran yang ada. Kongsilah kelebihan yang kita miliki kepada orang lain. Perkongsian menjadikan sebuah organisasi itu semakin kuat, bukan melemahkan kita.
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. (At-Taubah; 122)
Masalah yang kadang-kadang melanda bagi seorang apabila mereka bersifat impulsif tanpa memikirkan kepelbagaian teknik yang boleh diguna pakai. Lebih-lebih lagi jika dia bergerak dalam satu organisasi. Ini menyebabkan satu-satu tujuan yang diinginkan akan terbantut ditengah jalan.
(Grafik oleh : Ayu Candy)
Terima Kasih
Terima Kasih tidak terhingga kepada mereka yang bersama-sama berkerja untuk membangunkan Diyalna satu ketika dahulu samada secara langsung atau tidak. Semoga hasil usaha anda mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah. Tidak rugi, kerana pengalaman itu tetap kita perolehi.
Teringat satu potong kata-kata yang terkesan sehingga hari ini “Kongsi KELEBIHAN, Tampung KEKURANGAN”. Terima Kasih si pemberi kata.