

(Grafik oleh : Shahidan Mazlan)
Ketika membelek majalah-majalah lama di rumah untuk mencari bahan-bahan berkaitan penyelidikan yang perlu dibuat, teringat satu keratan Majalah i, edisi Ogos 2009 dalam kolum Web Pilihan yang mempromosikan Portal Diyalna. Biarpun Diyalna mati sebelum mencapai umur baligh, tapi disana ada sesuatu yang aku dapat untuk dikongsi bersama.
Pengenalan
Diyalna merupakan satu laman web komuniti hasil cetusan idea beberapa orang pelajar Malaysia di Morocco pada tahun 2009. Tujuan umumnya ketika itu mudah sahaja; berkongsi ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Idea asal tercetus ketika aku dan seorang sahabat sedang menuju ke Maaradh Kutub di Casablanca. Pelbagai topik disembangkan, dan topik yang pasti dibualkan sudah tentu berkaitan hal ehwal pelajar Malaysia di sana. Pelajar Malaysia di Morocco yang kurang 150 orang itu membolehkan kami berbicara tentang mereka yang mempunyai kepakaran. “Si dia kreatif begitu begini, si pulan hebat menghasilkan itu ini”. Kepakaran bukan sahaja merujuk kepada bidang dan subbidang yang ditimba dalam bilik kuliah, tetapi juga bakat-bakat diluar dimensi tersebut. Ada yang punyai bakat mereka grafik, ada yang minat berkarya, ada yang suka membongkar multimedia dan sebagainya. Dari situ tercetus di fikiran; mengapa bakat-bakat yang ada ini tidak disatukan? Sahabat aku memberi cadangan untuk menubuh satu laman web yang boleh mengumpul bakat-bakat tersebut. Hasrat ketika itu bukan sekadar mengumpul kepakaran masing-masing, tetapi juga sebagai satu medium dakwah. Klik disini untuk mengetahui Pengenalan Laman Diyalna. Terima Kasih!
(Keratan Majalah I, Ogos 2009)
Promosi
(i) Ketika Ustaz Zaharudin menziarahi Morocco, beliau sempat di briefed tentang laman web Diyalna yang akan dilancarkan. Idea, saranan dan amaran beliau amat terkesan hingga hari ini; Istiqamah!
(ii) Tahun 2009 dulu, Facebook belum menjadi kegilaan. Ketika itu Friendster merupakan medium sosial yang popular. Dengan kepakaran beberapa individu ketika itu, Diyalna mempunyai sub-domain khusus untuk e-kad yang boleh disisipkan dalam Friendster. Sumbangan design bukan sahaja daripada pelajar Malaysia di Morocco, tetapi mendapat khidmat pelajar luar juga. Sambutan amat menggalakkan!
(iii) Banner Diyalna juga direka bentuk dalam pelbagai saiz untuk promosi menggunakan laman blog
Perjalanan/Pengurusan
Membina sebuah rumah teres dan sebuah rumah banglo sudah tentu tidak sama. Tidak sama kosnya, masanya, pengurusannya dan keluasannya walaupun kedua-duanya bernama rumah. Sebuah organisasi yang kecil tidak sama pengurusannya dengan sebuah organisasi lain yang lebih besar! Begitu juga Diyalna yang bukan sekadar sebuah blog, tetapi sebuah web berbayar dengan kapasiti yang lebih besar di mana pengurusannya perlu lebih cermat.
Satu pengalaman berharga bagi semua krew Diyalna. Teringat beberapa ketika selepas Diyalna dilancarkan, moderator agak pening menguruskan laman tersebut. Feedback yang diperoleh amat positif, tidak kurang juga kekeliruan timbul sehingga ada yang menyangka Diyalna merupakan laman web persatuan mahasiswa! Kekeliruan ini mendapat reaksi presiden persatuan mahasiswa ketika itu apabila beliau sendiri menjelaskan tentang Diyalna kepada ahli persatuan (yahoogroup).
Secara umumnya, laman Diyalna mempunyai kolum-kolum berkaitan:
(i) Bahagian Artikel (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab,Karya Kreatif, Kembara Dunia)
(ii) Bahagian Kolumnis (Tasawuf, Tamadun, Feqah, Dakwah dan Rohani, Tautan Muslimat, Politik dan Pemikiran Islam, Terjemahan Kitab, Tokoh Islam).
(iii) Bahagian Forum
(iv) Bahagian E-Kad
Cadangan dan komentar begitu banyak diperoleh. Dari masa ke semasa krew Diyalna memperkemas pengurusan laman tersebut disamping tugas-tugas yang perlu dibuat hasil persepakatan perbincangan. Diyalna juga hampir boleh “membuat duit” apabila ada individu yang ingin meletakkan iklan berbayar dalam portal tersebut.
Statistik pengunjung Diyalna mencatat peningkatan angka pelawat dari masa ke semasa. Bermula daripada pengunjung yang majoritinya pelajar Malaysia di Morocco, sehinggalah dilawati oleh pengunjung-pengunjung luar yang pelbagai latar belakang.
(Bersambung…)