(Waeiz dan Naziha di Kota Marrakech)
Morocco atau dalam bahasa arab ‘Al-Maghrib’ mempunyai sejarahnya tersendiri. Ditambah dengan bentuk geografi dan percampuran budaya Arab, Barbar, Eropah dan Afrika menjadikan Morocco sebuah negara unik yang perlu dilawati.
Morocco terletak di Barat Laut Afrika dengan populasi penduduk 34,859,364 orang (2009). Bahagian utaranya menghadap laut Mediterranean yang juga merupakan sempadan antara benua Afrika dengan Eropah manakala bahagian barat Morocco menghadap lautan Atlantik. Dibahagian timur pula, Morocco bersempadan dengan Algeria manakala bahagian selatan disempadani dengan Mauritania & Barat Sahara.
Rabat merupakan ibu kota Morocco disamping Casablanca, Marrakech dan Fes antara bandar-bandar utamanya. Boleh dikatakan hampir separuh daripada penduduk Morocco bermastautin di kawasan bandar-bandar utama ini. Bandar terbesar Morocco adalah Casablanca yang juga dikenali sebagai bandar perindustrian manakala Fes dikenali sebagai bandar ilmu dan pusat kebudayaan utama. Marrakech pula merupakan bandar yang mempunyai tarikan tersendiri dimana menjadi kewajipan kepada para pelancong untuk melawatinya.
Morocco mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Raja Morocco sekarang bernama Muhammad VI menaiki takhta pada tahun 1999. Permaisurinya bernama Salma Bennan dan dikurniakan cahaya mata Putera Moulay Hassan dan Puteri Lalla Khadija. Dalam pentadbiran negara, baginda dibantu oleh seorang Perdana Menteri yang dilantik hasil pilihanraya Morocco yang dijalankan. Perlembagaan baru memberikan lebih banyak kuasa kepada Perdana Menteri dan parlimen, namun begitu raja tetap dengan kuasa vetonya dalam kebanyakan keputusan kerajaan.
Hari ini, penduduknya yang berbangsa Arab dan Barbar seramai 99.1%. 98.7 % daripada penduduknya pula beragama Islam, 1.1% Kristian dan Yahudi dengan jumlah yang lebih kecil, 0.2%. Bahasa utamanya adalah bahasa Arab disamping mempunyai dialek bahasa Arab Morocco (atau dipanggil Darija) yang berbeza dengan negara-negara Arab lain. Ini kerana hubungan sejarahnya dengan pencampuran budaya yang berbeza, maka banyak istilah-istilah bahasa asing terkesan dalam pertuturan seharian mereka. Bahasa Perancis pula digunakan secara meluas. Apa yang menarik, kebanyakan penduduknya mampu bertutur lebih daripada satu bahasa.
Morocco mempunyai sejarahnya yang begitu panjang dan kompleks. Namun secara ringkasnya, penduduk asal Morocco adalah kaum Barbar yang menetap lebih 1000 tahun sebelum masihi lagi. Melihat kepada bentuk geografinya yang strategik, bumi Morocco telah didatangi dan didiami oleh masyarakat luar yang datang dari sebelah utara dan timur. Namun orang-orang Phoenicia yang datang daripada timur lebih membawa kesan kepada pembentukan masyarakat di Morocco. Orang-orang Phoenicia telah mendiami Araish, dan menduduki Carthage yang ketika itu menjadi pusat perdagangan yang penting di sebelah Afrika. Pada tahun 146SM, Rom telah menakluki Afrika Utara dan mengasaskan wilayah Mauretania Tingitana (bukan negara Mauretania yang ada sekarang) di barat lautnya.
(Mauretania Tingitana)
(Bersambung….)