

AZAM
Melihat kawan-kawan pergi dan pulang mengerjakan umrah, membuatkan aku sangat-sangat jealous dengan mereka. Kisah pengalaman mereka sepanjang perjalanan di Kota Suci Mekah dan Madinah itu mendatangkan azam kepada aku untuk menjejakkan kaki ke sana. Bukan untuk melancong, bukan untuk bershopping dan bukan untuk bersuka ria. Tetapi sudah tentu untuk menyahut seruan Tuhan, beribadat, mengunjungi tempat yang mulia atas muka bumi ini. Dan aku pasti, semua umat Islam di dunia ini juga seperti aku, menanam azam dan berdoa agar dipermudahkan jalan ke sana. Ya, dan memang itu adalah harapan dan azamku juga!
“Nota Ke Tanah Suci” ini hanya sekadar tulisan umum sedikit pengalaman perjalanan aku ke sana, sama sekali aku tidak bercadang untuk menulis setiap langkah kakiku. Biarlah kebanyakan peristiwa yang aku hadapi selama lebih kurang dua minggu di sana menjadi rahsia antara aku dan Allah Azzawajjalla. Semoga nota ringkas ini dapat membantu pembaca sekalian agar menanam azam, kekuatan dan berusaha untuk ke sana melebihi azam untuk melawat ke syurga-syurga dunia yang lain. Mengimbau kembali tahun 2005-2009, ramai sahabat-sahabat aku telah melangkah jauh ke Eropah, Timur Tengah pelusuk dunia. Ya, aku juga ada azam untuk semua itu. Namun apa yang pasti, aku tanam dalam hati dalam apa juga situasi, azam untuk ke Tanah Suci jauh lebih tinggi berbanding melawat ke tempat-tempat yang lain.
MINTA IZIN
2009, aku bertekad untuk menjejakkan kaki ke sana dan sudah tentulah aku perlu meminta izin daripada keluarga. Teringat satu malam ketika cuti semester musim sejuk, aku buka capaian E-voiz di komputer untuk menghubungi kakak, Laiyinah atau nama manjanya ‘kakna’. Kakna pendidikan Al-Azhar (2005-2010), dan aku rasa selesa untuk minta pendapatnya terlebih dahulu sebelum meminta pendapat ahli keluarga yang lain. Aku dail. Panggilan dijawab. Setelah bertanya khabar keluarga dan bercerita pendek, aku terus menyatakan hasrat aku itu. Tp malang, jawapannya bukanlah seperti yang aku kehendaki! Dia meminta aku untuk fokus kepada pelajaran terlebih dahulu sebelum keluar menziarahi negara-negara lain. Argh! Tersentak juga dengan jawapannya itu. Esoknya aku tekad untuk menelefon terus ibu menyatakan hasrat tersebut. Aku sangka ibu juga tidak akan beri keizinan untuk aku keluar, tapi rupanya tidak… kerana jawapannya POSITIF!
TEMAN PERJALANAN
Urusan untuk perjalanan ke Saudi perlu dilakukan sebelum pertengahan tahun lagi! Ini kerana cuti panjang musim panas akan bermula antara bulan tujuh hingga sepuluh. Dalam tempoh itulah ramai pelajar Malaysia di Morocco keluar samada untuk bercuti di tanah air, atau meluaskan fikiran dengan menziarahi negara-negara lain. Oleh itu segala urusan perlu disiapkan sebelum cuti panjang bagi memudahkan urusan. Persoalan yang bermain dalam fikiran aku ketika itu adalah… “Dengan siapa aku nak pergi? Boleh ke aku pergi sendirian? Bagaimana aku di sana nanti” Ya, itulah persoalan asas. Adapun soal ‘pakej pelancongan’ mana yang perlu aku ambil tidak menjadi masalah kerana rata-rata sahabat yang ke sana juga tidak mengambil mana-mana pakej perlancongan, semua urusan visa dan tiket adalah dengan ‘air tangan’ sendiri. Hm, susah juga jika aku pergi bersendirian…
Allah Maha Mengetahui. Satu hari ketika aku duduk bersembang di Villa Abou Temmam, rumah sahabat yang jaraknya tidak jauh dari rumah aku, dengan tidak disangka-sangka rupanya ada salah seorang daripada mereka juga berhasrat untuk mengerjakan umrah. Izzat namanya…
Bersambung…